Disediakan oleh OPERASI DAKWAH SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI SARAWAK
Terima kasih Pengerusi Majlis, Panel Hakim, Penjaga Masa serta hadirin sekalian. Tajuk cerita saya ialah Pembentukan Negara Madinah.
Nama asal Madinah adalah Yathrib. Letaknya di Utara Mekah Semenanjung Tanah Arab. Penduduk asalnya adalah orang Arab dan Yahudi. Madinah digelar Al-Madinatul Munawwarah yang bermaksud kota yang gemilang.
Firman Allah :
“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”
( Potongan ayat 96 , Surah Al-‘Araf )
Kawan-kawan,
Sayangilah negara kelahiran kita. Janganlah jadi seperti Namawee yang mencemarkan nama baik negara dengan mengubah lirik lagu Negaraku.
Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan
Setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah dapati masyarakat Madinah terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Ini menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan penduduk Madinah. Atas permintaan kaum Muhajirin dan Ansar, baginda dapat membentuk sebuah negara yang berdaulat.
Firman Allah :
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.”
( Potongan ayat 103 , Surah Ali-‘Imran )
Ya kawan-kawan,
Janganlah kita hidup berpecah belah. Sesuai dengan konsep satu Malaysia yang menitik beratkan perpaduan semua kaum.
Rasulullah pemimpin yang bijaksana
Strategi diatur membentuk negara
Muhajirin dan Ansar menjadi saudara
Hilanglah sudah segala prasangka
Lalu, bagindapun memanggil wakil penduduk Madinah untuk bermesyuarat. Tujuannya… untuk membentuk undang-undang dan perlembagaan. Hasilnya terbentuklah sebuah negara Madinah. Inilah negara Islam yang pertama di dunia. Subhanallah…
Firman Allah :
“Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.”
( Potongan ayat 38 , Surah Asy-Syura )
Kawan-kawan,
Perancangan yang baik adalah tonggak kejayaan. Contohilah kebijaksanaan Perdana Menteri kita dalam memacu ekonomi negara.
Piagam Madinah banyak faedah
Perpaduan rakyat utuh terbina
Hidup umat terbentuk harmoni
Kepimpinan rasul wajar diikuti
Negara Madinah punya peraturan
Hidup sejahtera negara makmur
Ekonomi rakyat semakin subur
Berkat kejujuran dan keikhlasan
Melalui piagam ini, Rasulullah dilantik menjadi ketua negara. Peribadi mulia Rasulullah telah Berjaya menambat hati penduduk Madinah. Mereka akur dengan undang-undang yang telah dibentuk.
Firman Allah ;
“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
( Potongan ayat 59 , Surah An-Nisa’ )
Kawan-kawan,
Marilah bersama kita jayakan kempen menghayati Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan.
Negara Madinah masyhur ternama
Islam tersebar seluruh dunia
Berkat jihad Rasul tercinta
Rakyat selesa hidup sejahtera
Firman Allah:
"Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya”
( Potongan ayat 15 , Surah Saba’ )
Ya kawan-kawan,
Bersyukurlah kita dengan nikmat keamanan dan kemakmuran negara ini. Sesuai dengan kempen 1 Malaysia menjana transformasi.
Sekian. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment