Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk mengingati-Mu, untuk bersyukur kepada-Mu dan untuk beribadah kepada-Mu dengan baik.




Monday, 4 April 2011

KISAH NABI HUD ALAIHISSALAM

Disediakan oleh OPERASI DAKWAH SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI SARAWAK

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Terima kasih pengerusi majlis, para hakim, penjaga masa serta hadirin sekalian. Tajuk cerita saya ialah Kisah Nabi Hud Alaihissalam.

Nabi Hud as. adalah anak Abdullah bin Ribah . Baginda merupakan keturunan  kesembilan Nabi Nuh as. Nabi Hud seorang yang berpengaruh, berbudi pekerti yang luhur dan sangat bijaksana di kalangan kaumnya.

                                    Kaum Aad gagah dan berani
                                    Di Lembah Ahqaf hidup harmoni
                                    Rezeki kuniaan Allah tidak disyukuri
                                    Pada Thamud dan Al Hattar mengabdi diri

Firman Allah:
“Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud.”

( Potongan ayat 50 , Surah Hud )

Ya kawan-kawan,
Kepetahan dan keunggulan Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berhujah  menjadi faktor beliau dinobatkan sebagai Imam muda perlu kita contohi.
______________________________________________________________________________

Nabi Hud as. berusaha menghalang kesesatan.Baginda menyeru mereka meninggalkan penyembahan berhala yang syirik dan kembali kepada tauhid menyembah Allah.

Firman Allah :
“Dan (Dia berkata): "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya."

( Potongan ayat 52 , Surah Hud )


Sombong dan dengki menguasai diri
Hawa nafsu telah didorongi
Bermaharajalela tanpa disedari
Dakwah Nabi Hud dipandang sepi

Demikianlah hari-hari berlalu beratus tahun lamanya. Tetapi sayang cuma sedikit sahaja pengikut ajaran Nabi Hud as. Baginda terus tabah dan gigih meneruskan dakwah baginda tanpa sedikitpun rasa putus asa.

Kawan-kawan,
Contohilah kesabaran Nabi Hud dalam menyampaikan dakwah.
Penubuhan YADIM dan Abim menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan masyarakat Islam berlandaskan minda al-Quran.
______________________________________________________________________________

Dakwah dan nasihat tidak dihirau
Diminta bukti sebagai alasan
            Nabi Hud diejek serta dipulau
            Malah, ancaman baginda diabaikan

Firman Allah:
“Dan (kaum ‘Aad berkata) : Kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!”

(Potongan ayat 53 , Surah Hud )



Ya kawan-kawan,
Kita wajib beriman dengan ajaran Islam tanpa ragu-ragu. Penangkapan Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya Rasul Melayu adalah satu langkah bijak bagi menyelamatkan akidah umat Islam Negara ini.


Penderhakaan kaum ‘Aad mendatangkan kemurkaan Allah. Mereka ditimpa bala kemarau yang berpanjangan. Tiada setitis hujan pun yang turun. Maka, kering kontanglah tanah-tanah yang subur selama ini. Haiwan-haiwan ternakan menjadi kurus dan mati kerana tiada makanan.

Kejadian ini telah menimbulkan kesukaran dan kegelisahan kepada kaum ‘Aad. Nabi Hud as. berusaha menyuruh kaumnya agar bertaubat dan kembali beriman kepada Allah. Akan tetapi, kaum ‘Aad tetap bersikap degil dan terus berlagak sombong.

Firman Allah:
"Dalam sedikit waktu lagi pasti mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal."

( Ayat 40 , Surah Al-Mukminun )

Ya hadirin,
Tiindakan Israel menceroboh kapal konvoi keamanan aktivis Palestin telah mendapat tentangan dan kritikan hebat dari seluruh masyarakat dunia. Ingatlah,sifat sombong dan bongkak akan merugikan diri sendiri.


Suatu hari, terbentanglah di langit awan hitam yang panjang. Kaum Aad berpesta keriangan.

“Itulah awan petanda hujan akan turun.” kata setengah daripada kaum ‘Aad.

“Ya... ya! Nampaknya tuhan sembahan kita lebih berkuasa,” sambut yang lain.

Namun begitu, kehadiran awan tersebut rupa-rupanya disertai taufan beserta guruh yang dahsyat hingga merosakkan rumah dan harta benda. Kaum ‘Aad lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri tanpa menghiraukan anak dan isteri.

Tujuh hari tujuh malam bencana menimpa
Hingga cuaca kembali seperti biasa
Orang  beriman terselamat kesemuanya
Orang  kufur musnah akhirnya

Firman Allah:
 “Adapun kaum 'Ad Maka mereka Telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang.”

( Ayat 6 , Surah Al-Haqqah )

Ya hadirin,
Kejadian gempa bumi di Padang Indonesia mengakibatkan tiga perkampungan tenggelam harus menjadi pengajaran kepada kita. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa menjadikan apa yang dikehendakinya.





Hadirin yang dihormati,

Hanya Allah yang wajib disembah
Ajaran nabi jangan disanggah
Abdikan diri kepada Allah
Semoga hidup mendapat barakah

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

No comments:

Post a Comment