Disediakan oleh OPERASI DAKWAH SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI SARAWAK
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih Pengerusi Majlis, panel hakim, penjaga masa serta hadirin sekalian. Tajuk cerita saya ialah Kisah Nabi Idris as.
Nabi Idris as. adalah keturunan ke-6 dari Nabi Adam as. Baginda adalah putera pertama Nabi Adam as. yang dilantik sebagai rasul. Dalam kalangan bangsa Ibrani, baginda dikenali dengan nama Khunuh. Sejak kecil lagi, Nabi Idris as. sangat suka menuntut ilmu. Maka tidak hairanlah baginda dianugerahkan dengan pelbagai kepandaian dan kemahiran sehingga digelar dengan nama Idris.
Firman Allah :
“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris (yang tersebut) di dalam Al Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi.”
( Ayat 56 , Surah Maryam )
Nabi Idris as. merupakan insan pertama yang menulis menggunakan pena dan memakai baju yang berjahit termasuklah menggunakan kulit sebagai pakaian.
Ya kawan-kawan,
Marilah kita mencontohi kejayaan pelajar cemerlang PMR dan SPM tahun 2010 yang lalu. Ya… ini membuktikan kepada kita bahawa ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan.
Kehebatan, kebolehan dan kepandaian Nabi Idris as. amat dikagumi oleh Malaikat Izrail as. Ini mendorongnya ingin berjumpa dan berkenalan dengan baginda.
Dengan menyamar sebagai manusia
Datangnya Izrail ingin berjumpa
Idris menerima dengan gembira
Dijemput untuk menginap di rumahnya
Setelah berkenalan, Nabi Idris as. melayan tetamunya itu dengan hati yang ikhlas. Baginda mempelawa Malaikat Izrail untuk menggunakan keperluan yang ada di rumahnya.
Tetapi, Malaikat Izrail menolak dengan baik. Dia menjelaskan kedatangannnya hanya untuk sama-sama beribadat dengan baginda. Nabi Idris as. berasa hairan siapakah tetamunya itu lalu bertanya. Izrail menjawab:
“Akulah Izrail, malaikat maut.”
Firman Allah:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepadaKu.”
( Ayat 56 , Surah Az-Zaariat )
Ya kawan-kawan,
Program j-QAF dilaksanakan untuk membantu para pelajar meningkatkan ilmu agama. Ingatlah… sesungguhnya ibadah yang ikhlas adalah penyelamat kehidupan akhirat.
Semasa Malaikat Izrail datang pada kali kedua, Nabi Idris bertanya tujuan kedatangannya. Izrail menjawab:
“Aku datang untuk menziarahmu dengan izin Allah.”
Nabi Idris menyatakan hajatnya
Ingin merasa dicabut nyawa
Dengan izin Allah yang Maha kuasa
Hibanya Izrail melaksanakan tugasnya
Setelah dimatikan untuk seketika
Dihidupkan kembali seperti biasa
Merasalah Idris dicabut nyawa
Umpama binatang dilapah kulitnya
Firman Allah:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.”
( Potongan ayat 185 , Surah Ali-‘Imran )
Ya kawan-kawan,
Peristiwa yang berlaku kepada pelombong yang terperangkap selama lebih 3 bulan di San Jose, Chile adalah bukti kekuasaan Allah. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengingati mati dan mendekatkan diri kepada Allah.
Nabi Idris as. terus memohon permintaan kepada Malaikat Izrail. Kali ini baginda ingin melihat Neraka Jahannam. Dengan izin Allah Malaikat Izrail membawa Nabi Idris as. ke neraka.
Neraka tercipta tempat seksaan
Dipenuhi api panas membara
Kala jengking dan ular dapat habuan
Itulah balasan kepada penghuninya
Firman Allah:
“Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) Neraka Jahannam; dan demi sesungguhnya, (Neraka Jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.”
( Potongan ayat 206 , Surah Al-Baqarah )
Ya kawan-kawan,
Hari ini sering berlaku kes-kes pembunuhan kejam di negara kita. Ingatlah… setiap perbuatan jahat yang dilakukan, nerakalah balasannya.
Setelah melihat dahsyatnya neraka, Nabi Idris ingin pula ke syurga. Dengan izin Allah, Malaikat Izrail pun membawa Nabi Idris melawat syurga.
Indahnya syurga tiada terkira
Rasa ingin tinggal selamanya
Hasrat dihati terus dilaksana
Mengekalkan diri di dalam syurga
Namun kuasa Allah mengatasi segalanya
Idris diwafatkan jua akhirnya
Firman Allah:
(
“Dan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal saleh (berada) di dalam taman-taman syurga.”
Ya kawan-kawan,
Berusahalah mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Contohilah keluarga Tokoh Maal Hijrah Selangor 2011, Dato’ Dr. Harun Din.
Kisah Nabi Idris jadikan renungan
Ilmunya tinggi tiada tandingan
Iman tak goyah digoda syaitan
Jadikan ia sebagai pengajaran
Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment