Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk mengingati-Mu, untuk bersyukur kepada-Mu dan untuk beribadah kepada-Mu dengan baik.




Monday 4 April 2011

SAIDATINA KHADIJAH ISTERI RASULULLAH SAW

Disediakan oleh OPERASI DAKWAH SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI SARAWAK

Assalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih Pengerusi Majlis. Panel hakim, penjaga masa serta hadirin sekalian. Tajuk cerita saya ialah Saidatina Khadijah Isteri Rasulullah saw.
           
Saidatina Khadijah binti Khuwailid merupakan wanita pertama yang beriman dan banyak berkorban demi kejayaan Islam. Beliau dilahirkan di Mekah 15 tahun sebelum Tahun Gajah, berketurunan Quraisy dari suku Asadiyah. Khadijah juga dihormati dan disegani dalam kalangan kaumnya.
           
Beliau pernah berkahwin dua kali tetapi kedua-dua suaminya meninggal dunia.

            Mempunyai harta dan paras rupa
            Menjadi rebutan ramai pemuda
            Takdir Allah Khadijah menjanda
            Menjadi isteri Muhammad al-Amin akhirnya

Firman Allah :
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa.”

( Potongan ayat 32 , Surah Al-Ahzab )

Ya kawan-kawan,
Kita haruslah sentiasa menjaga maruah diri. Jangan jadi seperti gadis kembar yang lari mengikut kekasih hati.


Saidatina Khadijah merupakan seorang hartawan yang pandai berniaga. Beliau telah mengambil Rasulullah saw sebagai pengurus perniagaannya. Dengan kebijaksanaan dan kejujuran baginda, perniagaan Saidatina Khadijah berkembang maju.

Kejujuran Rasulullah menarik hatinya
Maisarah dan Nafisah jadi pengantara
Lamaran Khadijah Rasulullah terima
Perbezaan usia bukan penghalangnya

Saidatina Khadijah berkahwin dengan Rasulullah saw ketika usianya 40 tahun, Rasulullah pula berusia 25 tahun. Rasulullah memberi 400 dinar kepada Saidatina Khadijah sebagai mas kahwin.


Firman Allah :
 “Dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.

( Potongan ayat 26 , Surah An-Nur )

Ya kawan-kawan,
Wanita yang solehah adalah untuk lelaki yang soleh. Isu penderaan isteri masa kini menunjukkan ketidakikhlasan dalam perkahwinan.


Berkat kesabaran dan kebijaksanaan Saidatina Khadijah mengurus rumahtangga, mereka hidup rukun dan damai. Mereka dikurniakan 2 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan.

Darimu lahirnya zuriat nabi
Penerus perjuangan risalah suci
Qasim, Ibrahim, Fatimah
Zainab, Ummi Kalsom, Siti Ruqaiyah

Namun kegembiraan itu tidak lama, ketiga-tiga zuriat lelaki mereka telah meninggal dunia ketika kecil. Saidatina Khadijah menerima ketentuan Allah dengan redha.

Firman Allah :
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.”

( Potongan ayat 31, Surah Al-Isra’)
           
Lihatlah kawan-kawan,
Anak adalah anugerah Allah yang amat berharga. Tetapi masyarakat kita dewasa ini, membuang bayi seperti sampah.



Hatimu menyalakan keyakinan
Hartamu membuktikan pengorbanan
Rasul keseorangan engkaulah teman
Kerana iman kau sanggup berjuang

Saidatina Khadijah merupakan isteri solehah yang penyayang dan penuh kesabaran. Beliau sangat setia membantu Rasulullah saw dalam suka dan duka. Sewaktu Rasulullah pergi mengasingkan diri di Gua Hira’, Saidatina Khadijah sanggup menyediakan makanan kepada baginda.

Malah, ketika Rasulullah pulang dalam ketakutan setelah didatangi Malaikat Jibril as. dengan penuh kasih sayang diselimutnya baginda. Saidatina Khadijah menenangkan Rasulullah saw.

Firman Allah :
“Dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

( Potongan ayat 21, Surah Ar-Rum )

Ya kawan-kawan,
Contohilah kesetiaan Saidatina Khadijah. Seorang isteri wajib menyayangi suami. Perbuatan curang merupakan punca perceraian semakin meningkat di negara kita.


Saidatina Khadijah sanggup mengorbankan semua harta dan kekayaannya kepada perjuangan Nabi saw. Beliau sentiasa menyokong dakwah baginda ketika suka dan duka.

Pada usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Saidatina Khadijah telah wafat. Pemergian beliau menimbulkan kedukaan yang mendalam di hati Rasulullah saw.

Firman Allah :
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.”

( Potongan ayat 185 , Surah Ali-‘Imran )



Pengorbanan dicurahkan tidak terkira
Berjuang sepenuh keikhlasan di jiwa
Jibril membawa perkhabaran daripada Yang Esa
Saidatina Khadijah wanita Syurga

Ya kawan-kawan,
Ingatlah.....setiap yang hidup pasti akan mati,  gempa bumi di Padang, Indonesia telah mengorbankan banyak nyawa. Persiapkanlah diri kita untuk menghadapi kematian.


Siti Khadijah mujahadah solehah
Ummul mukminin yang patut dicontohi
Agung jasamu di persada sejarah
Hingga kini tiada pengganti


Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Subhanallah... Siti khadijah mujahadah yg tiada tolok bandingannya di dunia ini...

    ReplyDelete