Disediakan oleh OPERASI DAKWAH SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI SARAWAK
Assalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih Pengerusi Majlis. Panel hakim, penjaga masa serta hadirin sekalian. Tajuk cerita saya ialah Kisah Nabi Ibrahim dengan Raja Namrud.
Nabi Ibrahim as. adalah putera kepada Azar iaitu Tarikh bin Sam bin Nuh, seorang pengukir berhala yang terkenal.
Bila hilang sinarnya rembulan
Gelaplah alam musnahlah harapan
Raja Namrud berasa hairan
Mengapa rakyatnya ramai terkorban
Kepada nujum kemusykilan ditanya
Apa berlaku di sebalik petanda
Raja Namrud berasa curiga
Lahirnya bayi menggugat kuasa
Baginda dilahirkan pada tahun 2295 Sebelum Masihi di Babylon. Baginda adalah orang yang disayangi Allah dan digelar al-Khalil yang bermaksud kesempurnaan dan kedalaman cinta.
Firman Allah:
“Dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.”
( Potongan ayat 125 , Surah An-Nisa’ )
Ya kawan-kawan,
Jadilah insan yang berguna sekiranya mahu disenangi oleh semua orang. Baru-baru ini para ahli sukan kita mendapat insentif yang lumayan kerana sumbangan mereka mengharumkan nama negara.
Sejak kecil lagi, Nabi Ibrahim telah mendapat petunjuk daripada Allah swt. Baginda musykil dengan aqidah anutan ayahandanya yang menyembah berhala. Terfikir olehnya mungkin ada kuasa lain yang menjadikan alam ini.
Firman Allah :
…..
“Dialah Yang menjadikan bumi bagi kamu.”
( Potongan ayat 15 , Surah Al-Mulk )
Ya kawan-kawan,
Dalam segala hal yang kita lakukan kita mesti bijak berfikir. Lantaran, pemikiran bijaklah maka ipar kepada Tony Blair memeluk Islam lewat tahun 2010.
Babylon diperintah oleh seorang raja yang sangat zalim bernama Raja Namrud.
Dewasanya Ibrahim menjadi rasul
Mengajar manusia menyembah yang Esa
Marahnya Namrud rasa terpukul
Menyerah kalah bukan prinsipnya
Namrud dan Ibrahim ke arena debat
Dalam mencari kebenaran ilahi
Namun Namrud sering terjerat
Oleh tikaman hujahnya sendiri
Namrud mendakwa dirinya berkuasa. Dia membawa dua orang banduan di hadapan Ibrahim. Seorang dibunuhnya, sementara yang seorang lagi dibiarkan hidup.
“Lihatlah Ibrahim,aku berkuasa menghidup dan mematikan”, kata Namrud dengan angkuhnya.
Lalu Nabi Ibrahim mencabar Namrud dengan kuasa yang ada padanya supaya menjadikan matahari terbit dari sebelah barat. Marahnya Namrud dengan cabaran Nabi Ibrahim kerana perkara tersebut amat mustahil baginya.
Firman Allah :
“Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?"
( Potongan ayat 258 , Surah Al-Baqarah )
Ya kawan-kawan,
Berhikmahlah dalam menyampaikan dakwah. Pelbagai cara boleh kita gunakan seperti blog dan laman sosial di internet.
Kaum Namrud asyik berpesta
Peluang Ibrahim kini menjelma
Semua berhala dipenggal kepala
Tinggallah yang besar bersama senjata
Marahnya Namrud tidak terkira
Ibrahim dipanggil dengan segera
Buat penjelasan atas perbuatannya
Kerana menghina tuhan mereka
Firman Allah:
“Mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya.”
( Ayat 60 , Surah Al-Anbiya’ )
Ya kawan-kawan,
Dalam menegakkan agama Allah kita haruslah berani. Lihatlah Imam Muda Asyraf, kerana keberanian dan kepetahannya, beliau telah dinobatkan sebagai Imam Muda 2010.
Namrud bertekad membuat keputusan
Nabi Ibrahim mesti dihapuskan
Kayu dikumpul api dinyalakan
Ibrahim dicampak tanpa belas kasihan
Atas kuasa Yang Maha Esa
Api yang panas sejuk terasa
Terkejut kaumnya menyaksikan peristiwa
Nabi Ibrahim terselamat akhirnya
Namrud berasa sangat marah lalu mengarahkan Ibrahim ditangkap dan dibunuh. Tetapi Allah telah mengirimkan tentera nyamuk untuk menghapuskan tentera Namrud. Akhirnya Namrud mati diserang seekor nyamuk sebagai balasan kekejaman dan kezalimannya.
Firman Allah :
“Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”
( Potongan ayat 13 , Surah Luqman )
Ya kawan-kawan,
Berdoalah kepada Allah untuk memohon keampunanNya. Kejadian gempa bumi dan malapetaka yang berlaku adalah amaran Allah kepada kita bahawa Dialah sahaja Yang Maha Berkuasa.
Hanya Allah yang wajib disembah
Ajaran nabi jangan disanggah
Abdikan diri kepada Allah
Semoga hidup mendapat barakah
Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih
No comments:
Post a Comment