Disediakan oleh OPERASI DAKWAH SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI SARAWAK
Assalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih Pengerusi Majlis. Panel hakim, penjaga masa serta hadirin sekalian. Tajuk cerita saya ialah Kisah Ashabul ukhdud.
Kawan-kawan, pernahkah dengar kisah Ashabul Ukhdud? Kisah ini berkaitan dengan sebuah lubang besar…. nak tahu ceritanya?
Di kota San’a ibu negeri Yaman
Diperintah oleh raja Zu Nawas
Agama Yahudi menjadi pegangan
Sesiapa yang ingkar akan di tindas
Kisah ini menceritakan tentang kezaliman seorang raja yang sangat sombong dan angkuh. Raja tersebut tidak senang hati sebelum seluruh manusia menganut agama Yahudi baik di timur atau di barat. Walaupun beliau telah mempunyai kekuatan di kota San’a, tetapi beliau tetap angkuh dan sombong untuk menakluki seluruh negeri.
Firman Allah :
“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
( Potongan ayat 36 , Surah An-nisa’ )
Ya kawan-kawan,
Serangan terhadap sukarelawan yang menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza,oleh tentera Israel amat mengejutkan . Ingatlah, Allah tidak suka kepada orang yang sombong dan zalim seperti kaum Yahudi.
Pada suatu hari, Raja Zu Nawas telah didatangi seorang musafir dari daerah Najran untuk menyampaikan satu berita penting.
Lelaki itu berkata “Wahai rajaku, telah tersebar satu agama yang semakin ramai pengikutnya… mungkin akan mengalahkan agama Yahudi. Agama baru itu adalah agama Nasrani”.
Raja itu bertanya, “Siapakah yang menyebarkan agama baru itu?”
Lelaki itu menjawab, “Agama itu disebarkan oleh seorang pemuda yang berbangsa Rumawi bernama Fimiyun.”
Tersebar berita kehebatan Fimiyun
Didatangi ular ketika beribadat
Soleh melihat lalu terpegun
Ular mati tanda keramat
Majikan Fimiyun menyembah kurma
Kurma disembah dijadikan berhala
Berdoa agar diperlihatkan kuasa
Kurma mati bukti yang Maha Esa
Dengan peristiwa yang berlaku keatas sahabatnya Soleh, lalu majikannya beriman dan yakin dengan ajaran Nasrani yang di bawa oleh Fimiyun.
Firman Allah :
“Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". maka ia terus menjadi.”
( Ayat 82 , Surah Yaasin )
Kawan-kawan,
Bencana alam yang berlaku seperti gempa bumi dan banjir besar telah memberi keinsafan kepada kita. Yakinlah bahawa Allah Maha Berkuasa melakukan sesuatu yang tidak kita duga.
Mendengar berita tersebut, Raja Zu Nawas tersangat marah dan bersumpah untuk mengambil tindakan kepada bangsa Najran yang murtad. Angkatan perang Raja Zu Nawas mengepung daerah Najran dan mengancam untuk membunuh mereka. Namun ancaman itu tidak menggugat keimanan bangsa Najran sedikit pun.
Firman Allah :
“Dan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan Yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka.”
( Potongan ayat 36, Surah Al-A’raf )
Ya kawan-kawan,
Contohilah ketabahan rakyat Palestin yang tetap kental mempertahankan tanahair walaupun sering di tindas Israel.
Raja menyuruh semua tentera
Menggali lubang yang dalam dan besar
Diletakkan kayu sebanyak-banyaknya
Dinyalakan api sebesar-besarnya
Setelah dinyalakan api, Raja Zu Nawas dan tenteranya mengelilingi lubang api itu dengan penuh kesombongan dan kepuasan. Ish…ish….ish… dahsyat sungguh mereka tu kan?
Firman Allah :
“Celakalah kaum Yang menggali parit, (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran.”
( Ayat 4 dan 5 , Surah Al-Buruj )
Kawan-kawan,
Ingat tak kisah pembunuhan kejam jutawan kosmetik yang berlaku di Banting baru-baru ini. Janganlah kita bersikap zalim kepada sesiapa pun kerana sifat itu di murkai Allah.
Penduduk Najran menghadapi ujian itu dengan tenang dan sabar. Tidak ada seorang pun yang takut dan sedih. Seorang demi seorang daripada mereka terjun ke dalam api. Mereka tenang menjalani hukuman tersebut kerana keimanan yang teguh dan yakin bahawa balasan Syurga menanti mereka.
Firman Allah :
“Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!”
( Ayat 8 , Surah Al-Buruj )
Kawan-kawan,
Lain pula yang berlaku hari ini, mereka sanggup bunuh diri kerana nafsu dan bisikan syaitan. Ingatlah mati dalam keimanan adalah satu kemuliaan.
Sikap yang zalim jangan amalkan,
Azab Allah pasti menanti,
Tenang dan sabar satu tuntutan
Hadapi ujian daripada Ilahi.
Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment