Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk mengingati-Mu, untuk bersyukur kepada-Mu dan untuk beribadah kepada-Mu dengan baik.




Monday, 4 April 2011

DAKWAH NABI ZAKARIA DAN YAHYA ALAIHIMASSALAM

Disediakan oleh OPERASI DAKWAH SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI SARAWAK


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih Pengerusi Majlis, panel hakim, penjaga masa serta hadirin sekalian. Tajuk cerita saya ialah Dakwah Nabi Zakaria dan Yahya Alaihimassalam

Nabi Zakaria keturunan Sulaiman
Bani Israel asal keturunan
Negara palestin tempat kediaman
Agama Allah asas seruan

Baginda  telah berkahwin dengan Hannah. Walaupun usia sudah mencecah 90 tahun, baginda masih belum dikurniakan anak. Mereka teringin untuk menimang cahaya mata seperti pasangan-pasangan lain.

Suatu malam, dalam suasana sunyi sepi, duduklah Zakaria di mihrabnya, berdoa dengan penuh khusyuk dan penuh keyakinan agar  dikurniakan anak sebagai penyambung zuriat dan dakwahnya.

Lihatlah kawan-kawan,
Bagaimana bersungguhnya Nabi Zakaria ingin mendapatkan zuriat.Jangan jadi seperti masyarakat kita hari ini ,bayi dibuang seperti sampah.
_____________________________________________________________________________

Takdir Allah, walaupun lanjut usia isteri baginda pun mengandung. Maka, lahirlah putera yang bernama Yahya, pewaris dakwah Nabi Zakaria.

Firman Allah
“Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya.”

( Potongan ayat 7, Surah Maryam )

Yahya dididik, dibimbing dan diasuh dengan penuh kasih sayang. Zaman kanak-kanaknya, Yahya suka menyendiri  juga suka menangisi kelemahan dirinya sehinggalah ke zaman remajanya, Yahya unggul dengan keperibadian mulia sebagaimana ayahandanya, Nabi Zakaria.

Setelah dewasa, Nabi Yahya membantu ayahandanya berdakwah kepada Kaum Bani Israel supaya menyembah Allah, bersedekah dan sentiasa berzikir kepada Allah (SWT).


Firman Allah :
 “Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.”
( Ayat 78 , Surah Al-Baqarah )

Ya kawan-kawan,
Beribadatlah kita kepada Allah dengan penuh keikhlasan.Jangan kita mempersendakan agama.Budaya menyambut hariraya dengan pesta arak dalam masyarakat kita adalah satu daripada penghinaan terhadap agama Islam.



Raja palestin gagah perkasa
Mencintai herodia anak saudaranya sendiri
Ingin dikahwini untuk hidup bersama
Namun mendapat tentangan nabi

Nabi yahya berdakwah secara terang-terangan
Setiap yang mungkar perlu dijauhkan
Tidak mengira pangkat dan kedudukan
Sumbang mahram menjadi tentangan

Raja palestin merasa marah
Hasrat hatinya turut disanggah
Dakwah yahya mesti dibantah
Lalu dibunuhnya dengan rasa megah

Firman Allah :
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

( Ayat 32 , Surah Al-Israk )
Ya kawan-kawan,
Janganlah kita bertindak mengikut hawa nafsu sehingga sanggup mengabaikan syariat Allah.Tetapi dewasa ini,gejala sumbang mahram sering menjadi isu hangat di dada dada akhbar.


Raja Palestin masih belum berpuas hati,dakwah Nabi yahya dan nabi Zakaria amat menyusahkannya,maka nabi Zakaria sasaran seterusnya.Nabi Zakaria melarikan diri.

Sampai baginda ke sebatang pokok
Izin Allah terbelah dua
Nabi Zakaria meluru masuk
Akhirnya belahan bercantum semula

Tentera yang sedang mengejar baginda berasa hairan ke mana hilangnya nabi Zakaria.Tiba-tiba salah seorang daripada mereka ternampak secebis kain terkeluar daripada pokok tersebut.lalu berkata:
“Tentu Zakaria berada di dalam pokok ini”.

Dengan dendam yang membara, Raja Palestin mengarahkan supaya pokok tersebut digergaji.Alangkah tragisnya kematian mereka berdua kerana mempertahankan agama Allah namun ingatlah mereka tetap mulia di sisi Allah.

Firman Allah :
 “Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia dilahirkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).”
( Ayat 15 , Surah Maryam )

Ya kawan-kawan,
Kita mesti sentiasa berwaspada walau di mana kita berada.Pembunuhan kejam jutawan kosmetik di sebuah ladang menjadi pengajaran kepada kita.


Dengan terbunuhnya Nabi Zakaria dan nabi Yahya,Allah telah menurunkan bala dan musibah terhadap Raja Palestin dan rakyatnya.Mereka sering diserang oleh pihak musuh.

Firman Allah :

“Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka.”
( Potongan ayat 6 , Surah Al-An’am )



Ya kawan-kawan,
Setiap amalan yang kita lakukan akan mendapat pembalasan daripada Allah. Keganasan yang dilakukan oleh Kaum Yahudi terhadap penduduk Palestin pasti akan menerima padahnya .

Para anbia menjadi ikutan
Sempurnakan risalah rabbul izzati
Syahid fi sabilillah satu tuntutan
Syurga idaman janji ilahi

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

No comments:

Post a Comment