Segala puji bagi Allah,
Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad
S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda
hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati
Allah,
Setiap tahun apabila
sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis
sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab,
setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Apabila berbicara
tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang
kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh
dibahagikan kepada dua fasa.
01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki
binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis,
Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa
ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah
diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang
bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al
Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah
Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan
perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama
tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana
kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia
berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana
difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi
lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada
waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini
iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak
bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu
firman Allah itu berbunyi "asra
bi rohi 'abdihi lailan" yang
bermaksud memperjalankan
roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi
yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan
hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada
pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka
menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah
bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang
benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan
penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W
menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka
orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah
terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang
sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka
yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana
kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita
daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu
beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau
merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah
diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya".
Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar
dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang
membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga
diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika
di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini
seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan
Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih
tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk
dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati
Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu
tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan
iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan
dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan,
didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam
perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk (
Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan
(Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan
Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan
bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan
bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana
Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S.
menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S.
dilahirkan),
Dalam perjalanan itu
juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung
dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa
tersebut adalah seperti berikut :
01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai
hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula
seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W
diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah"
yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga
gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W
diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak
Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap
untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh
beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan
kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu
dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud
(sembahyang).
04.Sekumpulan orang yang hanya menutup
kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti
binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata
Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang
memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki
dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah
dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan
dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail:
Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang
lain.
08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah
dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting,
lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang
membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka
dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging
manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari
lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail:
Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah
terlambat.
11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh
dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail:
Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam
akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan tua duduk di tengah
jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya.
Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan
Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia
yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid
Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan
mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi
makmum.
Rasulullah S.A.W terasa
dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah
S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang
betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik
ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj
(tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas
tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah
S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s.
Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan
melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk.
Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi
S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan
Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik
tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun
A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik
tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa
A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat
umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa
hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik
tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim
Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa
kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan
berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu
dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu
menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat
lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan
beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah
lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU
AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang
yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam
syurga".
Setelah melihat beberpa
peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur
dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang
berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan
pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu,
sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya
berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.
Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.
Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus
masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta
dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di
sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di
dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang
lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya
sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki
ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda
Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat
menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah
dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah
kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb.
Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang
besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang
besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman
yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman
menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil.
Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan
orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku
ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan
amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu
sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari
kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan
kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah
sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada
kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku
kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah
panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu)
sembahyang.
Selesai munajat,
Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang
kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi
keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali
merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan
memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun
ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang
Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini
baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi
(bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat
peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum
hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber
: Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa
Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan
kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita
menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara
yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang
memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi
keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada
kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa
dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan
manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.
Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya
atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan
memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan
Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan
Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti
kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar
dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan
Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin
yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan
terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis dan
Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi
laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci
umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa
Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat
membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai
Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh
saudara-saudara kita di Palestin.
No comments:
Post a Comment