Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
SATU ketika, saya
berbual dengan seorang rakan yang arif dalam bab fikah dan amat berminat dengan
dunia al-Quran. Saya selalu menjadikan dia rujukan untuk menyelesai
permasalahan fikah dan sebaliknya, dia selalu bertanya kepada saya tentang
qiraat, tajwid dan al-Quran.
Antara soalan yang
ditanya ialah siapakah qari yang terbaik bacaannya? Adakah Syeikh Mahmud Khalil
al-Husari, Syeikh Abdul Basit, Syeikh Jibril?
Soalan itu bersifat umum
dan jawapannya boleh diberi dalam pelbagai bentuk. Jika dibuat sorotan kepada
zaman Rasulullah SAW, baginda sendiri mempunyai suara yang amat baik.
Al-Bara' Ibnu Azib
meriwayatkan dalam satu perjalanan, Rasulullah SAW bersembahyang Isyak dan
membaca dalam satu rakaatnya surah al-Tin. Al-Bara menyatakan: "Tidak
pernah aku mendengar seorang pun mempunyai suara dan bacaan yang lebih baik
daripada baginda." Kehebatan suara Rasulullah SAW tidak boleh dibanding
dengan kelunakan suara yang wujud pada masa ini. Alunan suaranya menyusuk kalbu
dan boleh menarik seseorang kepada Islam.
Perkara itu berlaku
kepada Jubair Ibnu Mut'im. Kisah beliau memeluk Islam ialah kerana mendengar
bacaan Rasulullah SAW.
Semasa Jubair sampai di
Madinah untuk urusan tertentu, ketika itu Rasulullah SAW sedang bersembahyang
Maghrib dan baginda membaca surah al-Tur.
Kemerduan suara
Rasulullah membuatkan Jubair mengikuti dengan penuh minat bacaan tersebut.
Apabila sampai kepada ayat 35 yang bermaksud: Apakah
mereka dicipta tanpa tujuan atau mereka yang mencipta diri mereka sendiri?
Bacaan yang amat baik,
diadun dengan suara yang merdu, dibaca dengan kefahaman mendalam maksudnya,
dibaca dengan hati yang tulus telah menerjah masuk ke dalam sanubari Jubair
sehingga beliau menyatakan demi Allah hatiku melayang. Sejurus Rasulullah SAW
memberi salam, Jubair mendapatkan baginda dan mengucap dua kalimah syahadah.
Jabir meriwayatkan satu
hadis daripada Rasulullah SAW di mana pernah satu ketika baginda ditanya
tentang siapakah yang terbaik suaranya membaca al-Quran. Baginda menjawab:
"Mereka ialah orang yang apabila kamu mendengar bacaannya, kamu memikirkan
ia takut kepada Allah."
No comments:
Post a Comment