Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk mengingati-Mu, untuk bersyukur kepada-Mu dan untuk beribadah kepada-Mu dengan baik.




Sunday, 12 February 2012

UPSR 5A


Diceritakan oleh Ustazah Norhafizah Musa

Suatu hari selepas saya memberikan satu pengisian di dalam slot bersama remaja, datang seorang remaja darjah 6 duduk di tepi meja saya.
"Ustazah, doakan saya supaya dapat 5A dalam UPSR."
"Inshaallah, UPSR 5A."
Selepas saya berkata sedemikian, dia masih tidak berlalu pergi. Dia tetap duduk sahaja dekat dengan meja saya.
"Katanya lagi, "Ustazah, ini serius tahu!"
Saya senyum sembil berkata; "Ya, saya tahu. Memang UPSR 5A dari dahulu hingga sekarang. Atau sudah bukan 5A lagi sekarang?"
"Ustazah ini beriya-iya mahu doa, tetapi tidak pula bertanya siapa nama saya."
Saya mula merasakan anak ini serius dengan kata-katanya. Saya bertanyakan namanya. Setelah diberitahu nama, dia berkata lagi, "Ustazah mesti doakan saya dapat 5A ya."
"Boleh ustazah tahu, mengapa kamu bersungguh-sungguh mahu ustazah doakan?"
Dia menyambung lagi, "Ustazah, saya meminta untuk didoakan agar dapat 5A dalam UPSR kerana saya mahu menuntut hadiah daripada ibu saya. Ibu tidak tahu lagi, apa hadiah yang saya mahukan."
Dalam fikiran saya, tentulah hadiah yang dimahukan seperti Basikal, PS2, video game atau yang seumpama dengannya.
"Boleh kamu kongsi dengan ustazah dahulu, hadiah apakah yang kamu mahukan daripada ibu kamu sekiranya kamu mendapat 5A?"
"Ustazah, saya harus dapat 5A. Kerana sekiranya saya dapat 5A, saya mahu tuntut hadiah daripada ibu supaya dia menutup aurat dengan sempurna, memakai tudung."
Pada ketika itu juga, saya menadah tangan berdoa, "Wahai Allah, Engkau mendengar luahan hati anak ini. Sekiranya dengan 5A boleh menjadi penyebab ibunya mendapat hidayah-Mu, Engkau berikanlah 5A kepada anak ini wahai Allah." ~Ustazah Norhafizah Musa.

*Hidayah Allah tidak mengenal usia. Kadangkala, seorang anak mendapat hidayah terlebih dahulu daripada ibunya. Oleh kerana itu, mohonlah hidayah Allah dengan airmata bukan air liur. Jangan pernah berhenti berdoa sebelum hidayah Allah menghuni jiwa. Kasih Allah itu lebih luas daripada kesalahan dan kealpaan diri kita. Pengampunan Allah itu lebih besar daripada dosa yang pernah kita lakukan. Sungguh Allah itu dekat apabila kita berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

No comments:

Post a Comment