Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk mengingati-Mu, untuk bersyukur kepada-Mu dan untuk beribadah kepada-Mu dengan baik.




Monday 4 April 2011

Iman dan Taqwa Pencetus Umat Gemilang

Disediakan oleh OPERASI DAKWAH SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI SARAWAK


Bismillahhirahmanirrahim
Alhamdulillahirabbil alamin.. Wassalatu wassalammuala asyrafil anbiyai  wal mursalin, waala alihi wasahbihi ajmain.

Terima kasih Tuan pengerusi majlis, yang dihormati kombinasi hakim yang arif saksama, penjaga masa, rakan-rakan seperjuangan serta hadirin dan hadirat sekalian.Assalammualaikum wbt

 “iman dan taqwa pencetus umat gemilang”.Demikian tajuk syarahan saya pada hari yang ceria ini. Namun,Sebelum kata bicara saya teruskan, izinkan saya merongkaikan terlebih dahulu frasa-frasa penting yang terkandung dalam tajuk ini.


-          Iman dan taqwa merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan yang kukuh terhadap kewujudan Allah swt

-          Manakala pencetus ummah gemilang ditakrifkan sebagai asas untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang dan terbilang dalam segenap aspek dunia dan akhirat

Secara kolektifnya tajuk ini membawa maksud keyakinan yang teguh kepada Allah SWT merupakan elemen terpenting dalam mewujudkan sesebuah komuniti yang cemerlang yang bukan sahaja mampu bersaing, malah mampu memberikan persaingan atas dasar mafhumnya.


Pertamanya:  Iman dan taqwa menyuburkan jalinan ukhuwwah Islamiah dalam sanubari insan.

Dalam peristiwa hijrah misalnya , terjalin ikatan  ukhuwwah islamiah yang ampuh antara kaum Aus dan Khazraj yang digarap atas dasar  perpaduan ummah

Firman Allah s.w.t. (Surah al-Ali Imran ayat 103)



Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali  Allah (agamaIslam) dan janganlah kamu berpecah belah.


Banjir besar yang melanda negeri Johor, Melaka, negeri Sembilan dan Pahang  Februari yang lepas  menyaksikan betapa sukarelawan dari pelbagai pihak tampil menggembeling tenaga dan ini membuktikan akidah yang mantap mampu menyimpulkan ikatan ukhuwwah Islamiah sekaligus melahirkan umat yang gemilang.

Jelaslah kepada kita , masyarakat yang bersatu padu adalah teras kejayaan insan dan peradaban.



Hadirin dan hadirat sekalian

Keduanya: Iman dan taqwa melahirkan umat yang berakhlak mulia

Akhlak yang mulia yang sentiasa dipupuk dan disuburkan ke dalam jiwa pasti akan melahirkan individu yang cemerlang dan seterusnya akan berupaya mencorakkan keluarga ke arah kegemilangan

Ramlah Yusof, Penerima Anugerah Kategori  Keluarga Terbilang bagi Parliman Marang, menyatakan bahawa untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang , maka pendidikan akhlak dan agama perlulah menjadi landasan utama

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al Tahrim ayat 6:


Keupayaan Saidatina Khadijah, isteri rasulullah saw mendidik anak-anak bersandarkan aqidah yang manatap telah memungkinkan mereka berjaya menjadi muslimah sejati.

Jelaslah bahawa iman dan taqwa berupaya melahirkan ummat yang berkualiti.


Ketiganya: Iman dan taqwa melahirkan ilmuan yang  bertamadun

Masyarakat berilmu adalah merupakan indikator kemajuan sesebuah Negara, dan untuk mencapai aspirasi ini, maka suntikan iman dan taqwa adalah merupakan pemangkinnya.

Kehebatan cendikiawan islam terdahulu, yang teguh aqidahnya, seperti Ibnu Sina, Al farabi dan lain-lainnya telah berjaya mencipta tamadun dunia

Firman Allah SWT dalam Surah Al Mujadalah ayat 11


Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan

Saudari Nur Rasyidah Arifin, Graduan Sarjana Muda Syariah yang telah menerima Anugerah Pelajaran DiRaja pada acara konvokesyen 2010 Universiti Malaya menyatakan bahawa pegangan teguh kepada ajaran agama telah memungkinkan beliau meraih anugerah ini.

Ternyatalah umat bertaqwa adalah tunjang kecemerlangan tamadun.

Hadirin sekalian

Keempat; Iman dan taqwa membentuk kepimpinan

Kepimpinan adalah satu elemen yang sangat penting dalam memastikan kecemerlangan ummah dan hal ini tidak dapat direalisasikan tanpa suntikan iman dan taqwa.

Kepimpinan unggul Khalifah Harun Ar Rasyid umpamanya adalah natijah daripada ketaqwaan beliau.

Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Muslim:

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu dipertanggungjawabkan ke atas orang yang dipimpin

Langkah memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bukti kukuh betapa prihatinnya kerajaaan terhadap kepimpinan yang bersih dan efisien dalam pentadbiran Negara. Dan hal ini dapat direalisasikan dengan mudah melalui suntikan iman dan taqwa.

Jelaslah, iman dan taqwa akan melahirkan kepimpinan yang gemilang.


Hadirin sekalian.

Kelima: Iman dan taqwa membina jati diri.

Sesungguhnya muslim yang memiliki akhlak yang cemerlang akan berupaya mengadaptasikan diri dengan pola kehidupan yang bersandarkan syariat Allah, mereka tidak akan goyah pada sebarang mehnah dan tribulasi, sebaliknya memiliki jati diri yang ampuh

Sejarah membuktikan betapa kentalnya keluarga Ammar bin Yasir yang Berjaya mempertahankan agamanya biarpun disiksa Abu jahal

Firman Allah SWT dalam surah Al Kalam, ayat 4

Dan sesungguhnya engkau wahai Muhammad mempunyai akhlak yang mulai

Langkah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia(AKRAB) mengadakan kem-kem motivasi bersepadu yang melibatkan 4 komponen manusia iaitu kerohanian, mental, intelektual dan fizikal adalah bertujuan untuk membina jati diri muslim.

Jelaslah bahawa, kecemerlangan akhlak yang berlandaskan iman dan taqwa adalah teras kegemilangan umat.


Keenamnya: Iman dan taqwa menjana sifat gigih.

Kejayaan Haji Ahmad Maling bergelar Johan Peladang Jaya lelaki, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Sarawak  adalah bersandarkan kepada sikapnya yang tidak pernah berputus asa.

Firman Allah SWT dalam surah Ar Ra’du ayat 11

Sesungguhnya Allah tidak mnegubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah diri mereka sendiri.

Kegigihan Nabi Nuh AS berdakwah ratusan tahun lamanya biarpun hanya beberapa orang sahaja yang menjadi pengikutnya, benar-benar menyentuh haati kita. Jelaslah iman dan taqwa menjana sifat gigih yang menjadi landasan kecemerlangan umat.

Dan ketujuhnya: Iman dan taqwa membentuk sifat sabar.

Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 153

Sesungguhnya Allah bersama orang –orang yang sabar

Ayuh rakan sekelian, mari sama-sama kita zahirkan kecantikan Islam dengan menjiwai sifat sabar dalam diri kita.
Kita contohi kesabaran Nabi Ayub AS agar kita tergolong dalam kalangan umat sejahtera yang cemerlang dan dikasihi Allah SWT


Hadirin sekalian,

Dengan tujuh aspek yang telah saya ampaikan iaitu, Iman dan Taqwa menjana jalinan Ukhuwwah Islamiah, akhlak mulia, ilmuan bertamadun,kepimpinan, jati diri, kegigihan dan sifat sabra, maka terbuktilah IMAN DAN TAQWA PENCETUS UMAT GEMILANG

Sekian.
Wabillahitaufiq walhidayah.. Wasslammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment